Pelajar dihempap runtuhan konkrit stabil - Utusan Malaysia

Pelajar dihempap runtuhan konkrit stabil

KEADAAN pelajar yang dihempap runtuhan dinding konkrit di sebuah asrama sekolah di Kampung Putera Jaya, Besut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang cedera selepas dihempap runtuhan konkrit di sebuah asrama sekolah di Kampung Putera Jaya, Setiu semalam kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu di sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pelajar tersebut kini berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di hospital itu.

Menurutnya, JPNT memandang serius perkara tersebut kerana melibatkan aspek keselamatan pelajar di sekolah.

“Ketika ini proses penyelenggaraan sedang dilakukan di sekolah tersebut dan pemantauan akan dilakukan dengan lebih ketat untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan cedera di paha selepas dihempap runtuhan dinding konkrit sebuah bangunan asrama sekolah terlibat.

Dalam kejadian pada pukul 11.22 pagi itu, seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Pasukan Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini sekolah tersebut berada di bawah seliaan kerajaan negeri namun pada tahun 2023, ia telah menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Susulan itu, KPM telah menyalurkan bantuan penyelenggaraan sebanyak RM200,000 kepada setiap SABK melalui Lembaga Pengelola Sekolah untuk memberi keselesaan kepada pelajar.

“Kita berharap setiap projek penyelenggaraan di sekolah akan mengutamakan aspek keselamatan agar kes seperti ini tidak lagi berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya