KLANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadikan pelabuhan di negara ini sebagai hap pangkalan kapal persiaran antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelabuhan di negara ini perlu menjadi hab sedemikian dan bukan sekadar transit bagi memperkasa sektor ekonomi pelancongan.
“Kita sudah lama menyebut usaha menjadikan Malaysia sebagai hab persiaran antarabangsa. Sudah sampai masanya MOT dan MOTAC bekerjasama mempromosi negara ini sebagai destinasi pelabuhan kapal persiaran antarabangsa.
“Saya akan menghadiri Persidangan Kapal Persiaran Antarabangsa di Miami, Amerika Syarikat pada April depan dan akan mempromosikan pelabuhan kita sebagai hab kapal persiaran antarabangsa,” katanya pada Majlis Pelancaran Kerjasama antara Hwajing Travel & Tours dan Costa Cruises, semalam.
Beliau menambah, menjadikan pelabuhan di negara ini bagi hab kapal tersebut akan merancakkan sektor pelancongan yang menyumbang kepada permintaan terhadap penginapan, makanan, pengangkutan dan peruncitan.
“Ketika ini jika kapal persiaran luar transit atau singgah di pelabuhan kita, ia kurang memberi kesan ekonomi kerana hanya singgah untuk beberapa jam dan tiada penumpang naik atau turun dari kapal tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut mengulas kerjasama berkenaan yang dianggapnya sebagai berpotensi terhadap sektor pelancongan Islamik yang belum diterokai sepenuhnya.
Menurutnya, pelancong-pelancong beragama Islam perlu mempunyai pilihan untuk makan di restoran halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di atas kapal tersebut.
“Kapal ini seperti hotel terapung yang banyak restorannya tetapi kebanyakan kapal antarabangsa ini tiada restoran halal dan ia menyukarkan pelancong-pelancong beragama Islam.
“Jadi apa yang dibuat oleh kedua pihak ini, ada beberapa restoran terpilih dalam kapal ini yang mendapat pensijilan halal dan ini mampu menarik lebih ramai pelancong muslim,” ujarnya. – UTUSAN