Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan - Utusan Malaysia

Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan

YAP KOK MING dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya di Taman Rasi Jaya, Menglembu minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekerja kedai aksesori telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga majikannya, minggu lalu.

Tertuduh, Yap Kok Ming, 54, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Siew Lean, 49, di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya di Menglembu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Januari 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga tempatan maut dipercayai ditikam pekerjanya dalam satu pergaduhan di hadapan kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu.

Difahamkan, berlaku perselisihan faham disebabkan masalah kewangan antara wanita itu dengan suspek sebelum lelaki terbabit bertindak menikam mangsa di bahagian dada.

Mangsa yang juga pengusaha kedai aksesori telefon bimbit itu maut di lokasi kejadian.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi itu, seorang lelaki dipercayai rakan perniagaan yang juga teman lelaki mangsa berusia 42 tahun turut cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN