KUALA LUMPUR: Wang hasil penjualan rumah milik seorang ahli perniagaan bernilai RM333,323 lesap dipercayai ‘disonglap’ peguam yang dilantiknya bagi urusan itu.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat ahli perniagaan berusia 60 tahun itu pada 19 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati peguam dan ejen hartanah itu dilantik menguruskan penjualan rumah milik ahli perniagaan berkenaan sekitar Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil jualan itu tidak diserahkan kepada ahli perniagaan.
“Pengadu ke firma guaman itu pada Januari lalu dan dimaklumkan oleh kakitangan bahawa wangnya digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.
“Pada hari sama, pengadu diberikan sekeping cek bernilai RM333,323. Namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik akaun iaitu firma guaman terbabit atas sebab tidak diketahui,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ramli berkata, semakan dilakukan dengan pejabat tanah mendapati rumah milik ahli perniagaan itu sudah dipindah milik kepada pemilik baharu.
“Justeru, kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, sebanyak 88 kes dilaporkan berkaitan pecah amanah jenayah dilakukan oleh peguam membabitkan kerugian berjumlah RM88.3 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Kata beliau, terdapat lapan kes dicatatkan dengan kerugian RM7.4 juta membabitkan kes pecah amanah jenayah oleh peguam bagi tempoh 1 hingga 24 Januari lalu.
“Meskipun peratusan kes dicatatkan hanya 0.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan 21,570 peguam berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia pada 2023, purata kerugian dicatatkan amat membimbangkan iaitu mencecah hampir RM1 juta bagi satu kes.
“Angka ini memberi gambaran bahawa kes pecah amanah jenayah oleh peguam tidak boleh dipandang remeh,” jelasnya.
Ramli turut menggesa Majlis Peguam Malaysia meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman dilaksanakan dalam menangani isu salah laku oleh peguam.
“PDRM juga mencadangkan supaya prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun itu.
“Jika ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu mekanisme efektif bagi mencegah berlakunya kes pecah amanah jenayah oleh peguam sekali gus mengelakkan pengubahan wang haram,” katanya. – UTUSAN