PDRM hargai pesara polis, atur penerbangan ihsan dari Pulau Pinang ke IJN - Utusan Malaysia

PDRM hargai pesara polis, atur penerbangan ihsan dari Pulau Pinang ke IJN

HELIKOPTER yang digunakan untuk membawa seorang pesara polis ke IJN dari padang SMK Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara polis hari ini diterbangkan secara ihsan dengan menggunakan helikopter hasil inisiatif yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, penerbangan itu terpaksa dibuat selepas pesara berkenaan, Othman Mohamed Said, 62, mengalami sesak nafas akibat serangan jantung dan memerlukan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

“Walaupun pesakit itu telah bersara daripada perkhidmatannya sebagai anggota polis, kita tetap menganggap beliau sebagai sebahagian daripada kita (polis).

“Justeru, sumbangan mereka (pesara) sepanjang berkhidmat kita tak abaikan dan kita juga berharap agar penerbangan ihsan ini akan membantu memudahkan urusan rawatan pesakit ini dan keluarganya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika meluangkan masa meninjau keadaan pesakit tersebut di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa di sini sebelum dia diterbangkan secara ihsan ke Kuala Lumpur.

KHAW Kok Chin (memakai jaket) turut meluangkan masa meninjau keadaan seorang pesara polis di padang SMK Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dibawa menaiki penerbangan ihsan PDRM ke IJN di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Othman, penerbangan ihsan yang dikendalikan oleh juruterbang, Superintenden Amirul Adli Ahmad serta pembantunya, Superintenden Mohd. Fairuz Jamil kira-kira pukul 9 pagi itu turut disertai oleh dua orang kru penerbangan, seorang doktor pakar serta seorang jururawat.

Turut menaiki helikopter berkenaan ialah isteri kepada pesakit terbabit, Norehan Desa, 50.

OTHMAN Mohamed Said dibawa ke IJN dengan menaiki penerbangan ihsan dari padang SMK Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam pada itu, adik ipar Othman, Norisyam Desa, 39, berkata, abang iparnya mula diserang sesak nafas selepas selesai menunaikan solat maghrib di sebuah masjid di sini, kelmarin.

Kata Norisyam, selepas kejadian itu, kakaknya terus membawanya ke KPJ Bandar Perda di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang selepas selesai membuat ujian darah.

Bagaimanapun, kata Norisyam, Othman yang bersara sebagai kakitangan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 2022 itu disahkan mengalami serangan jantung selain pembuluh darah yang pecah dan terkoyak selepas mendapatkan rawatan lanjut keesokkan harinya.

“Pada 2015, dia pernah kena sekali (serangan jantung) tapi ketika itu, keadaannya tidak seteruk kali ini.

“Jadi, kali ini, kami sepakat untuk membawa dia mendapatkan rawatan di sana (IJN). Saya sangat berterima kasih kepada PDRM kerana mengaturkan penerbangan ihsan ini walaupun abang ipar saya hanyalah seorang pesara polis,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya