PATI bayar transporter sehingga RM2,500 untuk masuk Sabah

PATI bayar transporter sehingga RM2,500 untuk masuk Sabah

ANTARA individu yang ditahan di ruangan ‘bucket’ belakang kenderaan yang diperiksa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hanya dengan bayaran RM1,500 hingga RM2,500 setiap seorang, pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh memasuki negara ini secara haram dengan bantuan transporter warga tempatan.

Itu antara perkara yang didedahkan melalui siasatan awal terhadap sindiket yang menyeludup masuk 11 PATI dengan mejadikan Pulau Bakungan Besar, Filipina sebagai transit sebelum memasuki Sabah.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua 11 PATI yang terdiri daripada lapan orang dewasa dan tiga kanak-kanak itu ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Serbuan pertama dilakukan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai bergerak dari arah Sandakan ke Kota Kinabalu pada 9.30 malam Sabtu.

“Semasa ditahan, kenderaan yang dipandu oleh warga tempatan berusia 26 tahun itu didapati membawa sembilan individu termasuk tiga orang yang bersembunyi di ruangan ‘bucket’ belakang kenderaan.

“Hasil maklumat risikan juga berjaya mengenal pasti sebuah rumah sewa di Penampang yang dijadikan rumah transit bagi menempatkan PATI yang diseludup sebelum dihantar ke lokasi-lokasi sekitar pusat bandar raya dan juga Papar untuk bekerja,” katanya.

Serbuan ke rumah transit itu telah berjaya menahan tujuh warga asing yang disyaki terlibat dalam kesalahan penyeludupan migran.

Hasil kedua-dua serbuan berjaya menahan 11 orang PATI yang masuk ke negara ini secara haram tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kesemua PATI yang ditahan berusia antara lapan bulan hingga 47 tahun dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan susulan.

Dalam serbuan itu, seramai empat warga tempatan yang berumur 25 hingga 56 tahun yang disyaki terlibat dengan penyeludupan migran. Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang digunakan untuk menyeludup migran.

Sitti Saleha berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 iaitu membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 atas kesalahan penyeludupan imigran haram.

Jelas beliau, Jabatan Imigresen Malaysia Sabah akan sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peraturan undang-undang di negara ini.

Justeru, orang ramai dan majikan diingatkan agar tidak melindungi PATI atau mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam penguatkuasaan diminta tampil menyalurkan maklumat tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya