Pasukan Khas Strategi Semikonduktor Kebangsaan ditubuh

Pasukan Khas Strategi Semikonduktor Kebangsaan ditubuh

ANWAR Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 tahun di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Khas Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua usaha berkenaan sejajar langkah memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi Madani termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas daripada segi ekonomi terbesar dunia dan 12 teratas daripada segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun.

“Mesyuarat juga membincangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang kepada 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 tahun di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat itu bertujuan membincangkan mengenai strategi dan hala tuju bagi meningkatkan pelaburan dalam negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan membangunkan satu kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

Katanya, ia merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Beliau berkata, perkara itu sejajar ketetapan Malaysia yang memutuskan bahawa pelaburan hijau adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan. 

Pada masa sama, kata Anwar, kerajaan juga memutuskan untuk menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

“Ia diharap akan menjadi pencetus kepada peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya