PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diteruskan seperti dirancang bermula Isnin ini biarpun ada beberapa negeri terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, sekolah yang terjejas akibat bencana itu sudah dipulihkan terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“SPM 2023 akan berjalan seperti dirancang dan akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Misi Bantuan Banjir Pantai Timur anjuran Wanita Keadilan, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya membuat siap siaga dari awal bagi menghadapi bencana termasuk oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), malah setakat ini, tiada calon SPM terjejas termasuk banjir terbaru melanda beberapa daerah di Johor semalam.
Menurutnya, jika ada calon terjejas, pihaknya akan segera bertindak, malah sudah ada pengalaman mengurus calon-calon SPM ketika banjir sebelum ini.
“Mungkin yang susah sedikit dan terputus jalan akibat banjir, kita akan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk membawa calon ke tempat peperiksaan,” katanya.
Fadhlina sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi garis panduan ditetapkan termasuk melakukan pemindahan atau menghentikan peperiksaan SPM membabitkan pelajar yang terjejas sekiranya keadaan banjir semakin buruk.
SPM 2023 akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).
Seramai 395,870 calon berdaftar untuk menduduki SPM 2023 selain 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. – UTUSAN