PETALING JAYA: Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak memerlukan budaya shopping atau membeli ahli Parlimen dengan menawarkan duit dan habuan semata-mata untuk menukar kerajaan, sebaliknya mengamalkan politik demokrasi yang sebenar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang langkah menukar kerajaan dengan amalan politik wang mestilah datang dalam kalangan mereka mempunyai dana dan daripada kelompok mengharapkan habuan, berbanding pembangkang yang sehingga kini disekat peruntukan.
Malah katanya, Pas amat bergantung harap kepada rakyat dan pengorbanan mereka yang bersama parti itu sejak awal penubuhannya.
“Sedangkan kerajaan sekarang yang menguasai wang dan dapat mempengaruhi mereka yang mencari segala projek menghasilkan kewangan dengan cara paling mudah.
“Adapun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan, bahkan dibekukan perjalanan kewangannya dan disita. Pada masa sama, pihak yang menyokong pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan Langkah Dubai iaitu satu cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipercayai mahu dilaksanakan pada akhir bulan lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu malah mengakui maklumat berhubung rancangan ‘tebuk atap’ tersebut diperolehnya menerusi sumber perisikan.
Namun komplot diusahakan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu itu yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui saluran proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan.
Katanya, Pas akan terus bersabar kerana sejak ditubuhkan pada 1951 dengan hanya satu kerusi, parti itu terus beristiqamah dalam semua keadaan walaupun berdepan pasang surut dan naik turun gelombang politik.
“Kami bergantung kepada rakyat dan pengorbanan mereka bersama Pas sejak penubuhannya sehingga kini. Orang yang tidak boleh bertahan melalui ribut dan gelombang politik ini umpama mereka yang mabuk kapal di lautan. Apa yang dapat dirempuh oleh gelombang yang diadakan ini, laksana gerak air kopi yang dikacau dalam cawan oleh sudu yang kecil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang tersebut secara sinis menyifatkan Kerajaan Perpaduan masih bersikap pembangkang kerana sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan pihak lawan.
“Maka cakapnya berdegar-degar, terus tidak menunaikan janjinya, lain yang ditanya lain yang dijawab, atau gelabah bertindak dahulu sebelum disiasat, tangkap dahulu sebelum nyata penyiasatannya,” katanya. – UTUSAN