Pas Perak simpati tetapi kesal tuduhan Ahli Parlimen Beruas terhadap PN - Utusan Malaysia

Pas Perak simpati tetapi kesal tuduhan Ahli Parlimen Beruas terhadap PN

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pas Perak menzahirkan simpati atas kejadian kereta Datuk Ngeh Koo Ham terbakar tetapi kesal dengan sikap Ahli Parlimen Beruas itu yang mengaitkan Perikatan Nasional (PN) terhadap kejadian itu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, menyifatkan tindakan Penasihat DAP Perak itu mendahului siasatan pihak polis adalah tanda tidak memberi kepercayaan penuh terhadap profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, Pas Perak berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak PDRM.

“Membuat tuduhan untuk meraih sentimen politik dengan kejadian jenayah adalah bersifat melulu dan melampau.

“Tuduhan Koo Ham seakan menyambung tuduhan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Meng sebelum ini bahawa Pas adalah Taliban,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas sidang akhbar Koo Ham hari ini yang menuduh kenyataan-kenyataan pemimpin pembangkang berhubung cadangannya berkaitan isu mahkamah syariah, mendorong kebencian terhadapnya sehingga menimbulkan keganasan.

Dalam kejadian awal pagi ini, tiga kereta milik Koo Ham rosak dengan satu daripadanya hangus selepas dibaling ‘molotov coctail’ di kediamannya di Ayer Tawar.

Menurut Razman, Koo Ham dilihat cuba menggambarkan imej buruk bukan hanya kepada PN tetapi juga islam kerana dikaitkan dengan isu kebiadapan beliau mencampuri urusan Islam baru-baru ini.

Beliau menasihatkan bekas Exco Perak itu agar bertenang dalam menghadapi musibah dan tidak menuding jari kepada pihak lain.

“Sewajarnya beliau tidak membuat tuduhan yang boleh mengapikan sentimen agama susulan kenyataan beliau sebelum ini.

“Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan segera dan berilah kepercayaan kepada pihak polis menguruskan isu jenayah secara profesional tanpa dikaitkan dengan sentimen simpati politik,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya