BAGAN DATUK: Sistem pam yang tidak berfungsi menjadi punca banjir termenung di beberapa kampung di sekitar Teluk Terimam di sini sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati air masih bertakung di kawasan rumah dan kebun penduduk melibatkan Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Haji Mohamad, Kampung Sungai Tiang Darat, Kampung Selekoh, Kampung Sungai Nipah dan Kampung Sungai Che Maja.
Seorang penduduk yang terjejas, Nizal Masani, 57, berkata, masalah yang sama pernah berlaku tahun lalu dan masalah itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Ahmad Zahid sudah meninjau masalah itu bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan beberapa agensi berkaitan.
“Setelah tinjuan, satu peruntukan telah diluluskan untuk mengatasi masalah ini tetapi masalah pam itu nampaknya masih berlarutan,’’ katanya.
Menurutnya, akibat pam air yang tidak berfungsi, walaupun paras air laut semakin surut tetapi di beberapa kampung masih lagi banjir.
Katanya, banjir termenung menyebabkan tanaman seperti pisang dan kelapa rosak.
“Banjir termenung juga menyebabkan kami tak dapat ke kebun untuk mengutip hasil kebun kerana ada kawasan yang ditenggelami air sehingga paras pinggang.
“Kami sangat berharap pihak berkenaan mengatasi masalah ini dengan segera kerana ia sudah berlarutan agak lama,” katanya.-UTUSAN