Pakaian seragam: KPM masih kumpul input, pandangan berkaitan  - Utusan Malaysia

Pakaian seragam: KPM masih kumpul input, pandangan berkaitan 

FADHLINA Sidek (duduk, kanan) berinteraksi dengan pelajar sekolah menerusi sesi PdPR ketika mengadakan lawatan kerja ke SMK Seri Nibong di Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpul input serta pandangan daripada pelbagai pihak berhubung isu pemakaian pakaian seragam sekolah ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, justeru, pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan yang jelas berkaitan perkara tersebut buat masa ini.

“Setakat ini, kita belum buat sebarang keputusan lagi kerana kita masih mendengar input dan sumbang saran daripada pihak berkepentingan.

“Kita (juga) punya pemegang taruh berkaitan dengan isu pakaian seragam ini.

“Tapi, untuk setakat ini, kita teruskan dengan pemakaian yang ada. Yang penting, pergi ke sekolah dengan berpakaian. Itu yang penting,” katanya dengan nada berseloroh.

Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa meninjau dua buah lagi sekolah iaitu SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh dekat sini.

Dalam pada itu, semasa lawatannya ke SMK Seri Nibong, Fadhlina turut meluangkan masa meninjau sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam kalangan guru sekolah tersebut susulan isu gangguan air.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pemantauan daripada segi pendidikan memperlihatkan semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan negeri, guru-guru serta pihak sekolah telah bersedia untuk sesi PdPR ekoran isu gangguan air itu walaupun diputuskan dalam masa singkat.

“Secara keseluruhan dari segi pendidikan, akses pendidikan itu tidak ada sebarang masalah.

“Yang kedua adalah dari segi persediaan sekolah-sekolah yang berasrama khususnya kerana ia melibatkan juga persiapan kantin dan sebagainya.

“Justeru, keputusan kita khususnya JPN (Pulau Pinang) untuk membuat PdPR dan menyusun semula jadual sekolah-sekolah yang terlibat dengan masalah ketiadaan air ini menunjukkan urusannya berjaya dilaksanakan dengan sangat baik,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya