Paip bawah air Sungai Perai bocor, beberapa kawasan mungkin alami gangguan air semula - Utusan Malaysia

Paip bawah air Sungai Perai bocor, beberapa kawasan mungkin alami gangguan air semula

SATU lagi kebocoran dikesan berlaku di saluran paip bawah air di Sungai Perai, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan satu lagi kebocoran telah dikesan di saluran paip bawah air di Sungai Perai, dekat sini.

Sehubungan itu, kakitangan PBAPP sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran terbabit untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian yang sama yang telah dibaiki semalam.

Menurut PBAPP, Walaupun berlaku kebocoran, namun pihaknya akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini.

“Pengguna pemulihan tahap dua diminta untuk menyimpan air untuk kegunaan. ⁠Saluran paip ini mungkin akan ditutup kemudian untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah dapat disiapkan ia membabitkan kerja-kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

PBAPP berkata, keadaan tersebut masih dalam siasatan dan PBAPP akan berkongsi hasilnya apabila mempunyai maklumat dan data yang tepat.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, pihaknya bimbang kejadian terbaharu membabitkan kebocoran di saluran paip bawah air Sungai Perai itu akan mengakibatkan penyaluran semula air di kawasan DUN Bayan Lepas antaranya meliputi kawasan Relau, Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Sungai Batu akan terhenti semula.

AZRUL MAHATHIR Aziz (kiri) membantu seorang penduduk, Kam Leong Hoe,70, mengisi air yang diambil dari lori tangki di Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, hari ini.

”Hari ini ada beberapa kawasan di sekitar DUN Bayan Lepas seperti di kawasan kampung-kampung di Teluk Kumbar telah memperoleh bekalan air.

“Kejadian saluran paip bocor di Sungai Perai ini akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air terjadi semula di kawasan DUN Bayan Lepas dan ini akan menyukarkan penduduk setempat,” katanya.

Azrul Mahathir berkata, pada masa ini sebanyak 10 lori tangki air berkapasiti 40,000 liter yang diletakkan di beberapa kawasan DUN Bayan Lepas kebanyakanya telah kehabisan air dan perlu diisi semula.

”Pengisian air tangki ini akan mengambil masa dan kami berharap paip yang bocor di Sungai Perai akan dapat dibaiki segera,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya