PADU bantu kerajaan basmi kemiskinan - PM

PADU bantu kerajaan basmi kemiskinan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam bertujuan untuk menghentikan ketirisan dan kebocoran dana kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan selama ini membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan khususnya di desa serta pedalaman.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut menanggung subsidi hampir RM80 bilion yang sepatutnya dinikmati oleh golongan susah namun manfaatnya turut dirasai kira-kira 3.5 juta warga asing serta golongan disifatnya sebagai mahakaya.

“Semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan ini sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.

“Mana mungkin masih wujud miskin tegar dalam negara ini sekiranya perbelanjaan berjumlah RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion itu semuanya sampai kepada golongan miskin dan orang-orang susah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak sanggup membiarkan ketirisan dana kerajaan terus berlaku dengan membenarkan hak orang miskin dirampas oleh golongan kaya dan berkemampuan.

“Justeru, PADU dilancarkan dengan tujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran ini bagi memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi yang berkesan,” katanya.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran tempatan di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Oleh itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendaftaran sistem PADU sudah dibuka secara langsung bermula semalam sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Katanya, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU iaitu https://padu.gov.my/.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya