PADU bantu capai defisit fiskal 3 hingga 3.5 peratus 2025

PADU bantu capai defisit fiskal 3 hingga 3.5 peratus 2025

RAFIZI Ramli ketika berucap dalam pelancaran Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan defisit fiskal antara 3 hingga 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 disokong pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, PADU dilihat mampu mengoptimumkan sumber dan mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

Beliau berkata, kerjasama dalam pembekalan dan pengemaskinian maklumat dan data terkini dalam PADU diharap dapat membantu kerajaan dalam menyasarkan semula subsidi.

“Insya-Allah, sekiranya PADU berjalan lancar, ia akan dapat membantu mencapai sasaran defisit fiskal di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025 (KSP RMK12) antara 3.5 hingga 3 peratus kepada KDNK pada tahun 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di sini, hari ini.

Justeru, katanya, inisiatif (PADU) ini antara keutamaan kerajaan dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi dapat dirasai secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat.

Pada masa sama, Rafizi berkata, PADU akan dapat membantu kerajaan untuk menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Menurutnya, kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

“Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, PADU juga akan menyediakan data lebih selamat, komprehensif dan bersifat semasa (realtime).

“Ia bukan ada data tahun ini, 10 tahun orang itu dah mati masih pakai data itu. Apabila berlaku perubahan dalam satu pangkalan data dalam satu agensi, ia akan terus dikemaskini dalam pangkalan data utama (PADU).

“Kami juga mahu agensi lain juga sentiasa mempunyai data yang terkini setiap isi rakyat dan rumah. Ini sekali gus membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan,” katanya.

Bagi menjamin keselamatan siber susulan kewujudan PADU itu, Rafizi berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif telah diwujudkan bagi memastikan pengendalian data yang selamat.

“Di samping itu, kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah kebocoran data serta memastikan perlindungan data peribadi.

“Kerajaan juga turut melantik kumpulan pakar bebas yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam memastikan pembangunan PADU memiliki ciri-ciri keselamatan yang terkini dan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya