SELEPAS lebih empat dekad, penyanyi bertaraf legenda, Jay Jay terus relevan dalam persada seni tanah air. Pemilik nama sebenar Mohd. Fauzi Darus ini masih dihujani tawaran membuat persembahan meskipun usianya bakal mencecah 67, tahun ini.
Terbaru, penyanyi bersuara emas ini, pada 7 Mac depan membuat kemunculan istimewa menerusi konsert Voice Of The Heart bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Jay Jay akan menghiburkan sambil mengumpul sumbangan untuk rakyat Palestin bersama Rahmad Mega, Ernie Zakri dan Nadeera. Penglibatan itu membuktikan penyanyi ini masih relevan di mata masyarakat.
Pada sidang media baru-baru ini, sempat diajukan kepada Jay Jay tentang rahsia kekal menjadi pilihan sampai ke hari ini. Kata beliau, dia bersyukur kerana berpeluang menyanyikan lagu-lagu yang bukan sahaja malar segar, malah mencipta nostalgia kepada pendengar.
“Penyanyi kena ada lagu sendiri. Jarang sewaktu konsert kita nak nyanyi lagu orang lain. Alhamdulillah, nama saya relevan sebab Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Joget Angan Tak Sudah. Insya-Allah, ada banyak (lagu).
“Saya pernah dijemput ke Brunei, diberi layanan VVIP dan dipelawa menyanyi di istana dengan bayaran lumayan gara-gara satu lagu sahaja iaitu lagu Rindu Bayangan.
“Lagu itu popularkan saya. Rindu Bayangan dicipta Omar Taib dan Siti Maria Jasmin 45 tahun lalu, tapi sampai sekarang ia menjadi permintaan. Tiap minggu, bulan dan tahun saya persembahkan. Orang sanggup bayar untuknya,” katanya.
Kata Jay Jay, dia juga beruntung kerana diberi bakat bermain muzik. Ujarnya, kemahiran itu adalah kelebihan lebih-lebih lagi dalam menguruskan kos dan perbelanjaan ketika membuat persembahan.
“Ada artis perlu bayar pemuzik, tanggung penginapan dan tiket penerbangan untuk persembahan. Saya boleh bermain gitar, kebanyakan persembahan hanya saya seorang di pentas.
“Saya jarang diiringi band dan pemuzik. Selalu hanya guna minus one. Kalau diiringi orkestra, bonus bagi saya. Keadaan ini berlaku kepada ramai penyanyi. Bukan saya seorang,” katanya lagi.
Tak merokok
Itu rahsia Jay Jay dalam mengekalkan kualiti suara dan stamina pada usia lebih enam dekad. Katanya, dia tidak terlalu berpantang dalam pemakanan, cuma tidak merokok sejak dulu.
“Saya, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M.Nasir tak pernah merokok. Tapi saya tak ada masalah berkawan dengan perokok.
“Mungkin kerana kerja sebagai penyanyi membuatkan saya kena jaga kesihatan. Amalan ini benar-benar membantu saya menyanyi dengan baik sampai sekarang,” kongsinya.
Kata Jay Jay lagi, tidur mencukupi adalah kemestian. Amalan itu juga membolehkan dia kekal bertenaga dan mampu memberikan terbaik setiap kali menghiburkan.
“Tak cukup makan tak apa, janji cukup tidur. Sekurang-kurangnya enam ke tujuh jam sehari.
“Artis kebanyakannya tidur lambat, sebab selalunya kami selesa bekerja waktu malam. Tak perlu berdepan kesesakan, tak perlu runsing dengan masalah ketiadaan tempat letak kenderaan.
“Dan sebenarnya, suara penyanyi, untuk rakaman paling elok dibuat waktu malam. Ini disebabkan seharian kita warm up suara,” ujarnya.