Orang awam alih kon punca nahas tiga kemalangan motosikal

Orang awam alih kon punca nahas tiga kemalangan motosikal

LOKASI tragedi maut motosikal terbabas ke dalam parit yang sedang dalam proses pembinaan ketika tinjauan di Kampung Teluk, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemalangan maut membabitkan tiga motosikal yang terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil di sini pagi tadi dipercayai berpunca daripada tindakan orang awam mengalihkan kon penghadang jalan yang diletakkan kontraktor.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa, Chong Min Yang, 57, dan Mohd. Zaim Bahrin, 31, masing-masing mengalami luka di kaki serta cedera di kepala dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas berlaku apabila kesemua mangsa melalui laluan yang telah ditutup dengan kon keselamatan oleh pihak syarikat Tekad Waja Enterprise.

Katanya, kon tersebut dipercayai telah dialihkan orang awam menyebabkan kesemua mangsa tidak menyedari berlaku kerja-kerja pembaikan jalan di laluan berkenaan.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil ke arah lampu isyarat Hospital Pantai dan setiba di lokasi mereka telah melalui lencongan yang ditutup dengan kon oleh pihak kontraktor.

“Kita percaya semasa kejadian kon itu telah dialihkan menyebabkan mangsa tidak nampak kerja-kerja pembaikan dan terjatuh ke dalam parit tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan ketika nahas berlaku adalah basah dan laluan mempunyai pencahayaan lampu.

Menurutnya, setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah SEK 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN