GEORGE TOWN: Sebanyak 146 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Motosikal Bersepadu sempena sambutan Tahun Baharu 2024, di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (E-Gate), di sini awal pagi tadi.
JPJ berkata, operasi itu dijalankan dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi tadi dengan kekuatan anggota seramai 15 anggota.
”Sepanjang operasi ini diadakan, sebanyak 315 buah motosikal telah diperiksa yang mana 110 penunggang dikenakan tindakan dengan jumlah keseluruhan 146 notis saman dan teknikal telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan antaranya seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran, nombor pendaftaran ‘fancy dan extreme’, tiada cermin sisi dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya di sini hari ini.
Menurut JPJ, operasi motosikal itu dijalankan untuk memastikan penunggang dan pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang.
”Ia juga untuk memastikan motosikal mereka tidak diubah suai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit,” katanya.
Tambahnya, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan supaya patuh pada peraturan dan undang undang serta memandu dengan cermat dan berhemah.
”Ini bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Keselamatan di jalan raya tanggungjawab kita bersama,” katanya. – UTUSAN