PETALING JAYA: Operasi pembersihan pasca banjir akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang terkesan terutamanya di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, untuk tujuan itu pegawai daerah telah menyelaraskan operasi pembersihan pasca banjir di kawasan yang terlibat.
“Pembersihan akan diselaraskan oleh pegawai daerah sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan tidak melibatkan NADMA.
“Tindakan pasca banjir biasanya meliputi bantuan pembersihan kediaman dan tempat-tempat awam, aktiviti pembersihan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) serta tindakan pemulihan perkhidmatan asas,” katanya ketika dihubungi.
Khairul Shahril menjelaskan, apabila situasi banjir mulai surut di beberapa kawasan yang memerlukan tindakan pasca banjir, semua agensi akan bersiap sedia untuk terlibat dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat semalam, jumlah mangsa yang terkesan akibat banjir adalah seramai 9,684 orang di empat buah negeri.
Jumlah PPS yang beroperasi ialah sebanyak 36 buah dan tiada pembukaan PPS yang baharu setakat ini.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), tiada sebarang amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan buat masa ini.
“Negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 11 November 2023 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024.
“Dalam tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam yang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.
Tambah Met Malaysia,sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat.
“Barat dan tengah Sarawak serta Selatan Semenanjung dijangka akan berlakunya penumpuan angin sehinggan 4 Januari 2024. Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi untuk membawa hujan di kawasan tersebut.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,”jelasnya.-UTUSAN