One hit wonder? Saya yakin tidak akan terjadi - Saixse - Utusan Malaysia

One hit wonder? Saya yakin tidak akan terjadi – Saixse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU pertamanya, Malam Pagi mencetuskan kontroversi apabila ada pihak yang mendakwa karya tersebut boleh memberi pengaruh buruk kepada generasi muda yang menggila menghafal single sulungnya itu.

Namun sehingga kini, Saixse tidak membuka mulut dan membalas dakwaan tersebut sebaliknya, hanya meneruskan sahaja kerjaya seninya. Pun begitu, sedikit sebanyak tempias itu tetap terpalit padanya.

Bakal tampil dengan lagu baharu tidak lama lagi, Saixse juga terheret dengan dakwaan kurang mesra dan mula berlagak sombong sejurus populariti mula memuncak menerusi lagu Malam Pagi itu.

Jawablah mendapat Saixse. Adakah lagu baharunya itu bakal menampilkan perbezaan khususnya dari segi lirik? Adakah dia juga bersedia dengan kritikan dan kecaman?

J: Dengar cerita Saixse bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi? Adakah genrenya berbeza? Balada pula ke?

S: Balada? Tidak sama sekali. Kalau balada, saya kena masuk kelas vokal dahulu. Nak nyanyi lagu bernada tinggi, belum mampu lagi. Saya juga masih belajar jadi lebih baik kekal dengan jalur muzik sama.

Tetapi lagu baharu ini memang berbeza. Saya yakin bila peminat dengar, mereka akan dengar bezanya. Saya ini komposer belajar sendiri. Semua rekod sendiri guna aplikasi. Tak sangka juga Malam Pagi ‘menggila’.

J: Sebelum ini ada pihak yang membedah lirik Malam Pagi dan mendakwa lagu tersebut membawa unsur negatif yang terarah kepada aktiviti persundalan. Adakah Saixse terkesan? Bagaimana pula dengan lagu baharu?

S: Sejujurnya, kontroversi semua ini saya tak minat sangat hendak beri penjelasan. Lirik lagu itu memang cara saya meluah. Kalau lagu itu mencetuskan kontroversi, let it be. Saya juga percaya, buruk atau baik, publisiti itu akan beri impak.

Saya juga tidak mahu jadi diri sendiri, tak akan ubah jadi orang lain. Ada yang cakap Malam Pagi merujuk kepada aktiviti hiburan malam. Tetapi bagi saya, semua itu bergantung kepada bagaimana orang berfikir dan melihat.

J: Ada juga yang mendakwa Saixse sudah lupa diri bila popular? Kurang mesra dan sukar didekati? Benarkah?

S: Susah nak jawab soalan sebegini. Itulah saya. Kadang-kadang, tidak dinafikan saya ini ada perasaan gemuruh bila dikerumuni atau didekati oleh orang ramai. Adakala, stage fright juga kan bila buat persembahan.

Saya bukan sombong tau introvert, cuma itulah saya. Mungkin juga saya tak biasa dengan perhatian yang diraih sekarang. Dalam masa sama, bersyukur juga karya saya diterima ramai dan mampu tular.

J: Saixse takut tak dengan sindrom one hit wonder? Yelah, sekarang ramai artis baharu yang bertahan sekejap cuma? Lalu lalang sahaja dalam industri.

S: Saya yakin tidak. Saya akan ada dua atau mungkin berpuluh-puluh hits. Saya serius dalam dunia seni ini. Apa yang saya miliki sekarang adalah perkara yang saya impikan satu ketika dahulu. Sejak sekolah lagi.

Bila kita dah yakin dengan apa yang kita mahu, usaha itu akan dilipat ganda. Apa juga kontroversi atau kata-kata kecaman, saya akan atasi. Sampai bila sahaja kan kita mahu dengar orang kutuk, kecam kita?

J: Adakah perhatian dan populariti yang diraih ekarang memberi impak dalam hidup Saixse sendiri? Sedikit sebanyak itu adalah tanggungjawab dan peranan yang dipikul untuk membentuk generasi masa depan?

S: Betul. Bila jadi seseorang yang mempunyai pengaruh dan pengikut, kita boleh bantu orang. Sangat dekat dengan hati saya bila ada yang mungkin berkongsi cerita. Semakin lama, kematangan saya juga bertambah. Cara berfikir berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya