Olahan kari kambing Hyderabad sesuai cita rasa tempatan

Olahan kari kambing Hyderabad sesuai cita rasa tempatan

KARI kambing dihidangkan dalam bekas susu getah seramik. - MINGGUAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNIAGAAN restoran di negara ini sangat dinamik kerana dipengaruhi cita rasa masyarakat yang pantas berubah mengikut keadaan semasa, dan ini yang cuba diperkenalkan kari kambing Hyderabad.

Oleh itu, peniaga perlu kreatif mencipta menu baharu atau melakukan inovasi terhadap makanan sedia ada agar kekal relevan dan mampu bersaing dengan pengusaha makanan lain.

Bagi pemilik gerai Nasi Kambing Hyderabad, Yusdey Ismail, 47, menghasilkan menu yang menepati selera rakyat tempatan adalah perkara ‘wajib’ perlu dilakukan setiap peniaga selain menambah elemen kreatif pada hidangan bagi menaikkan visual persembahan.

Ternyata percaturan Yusdey berjaya apabila menu nasi kari kambing Hyderabad yang menggabungkan kedua-dua kombinasi itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan termasuk dari Singapura yang sanggup berkunjung ke gerainya di Batu Berendam, Melaka.

Kari kambing yang dimasak hampir empat jam akan dihidangkan dalam bekas susu getah seramik dan bahagian atasnya ditutup dengan roti nipis bagi memerangkap aroma rempah ratus.

Wap yang terhasil semasa kari itu dipanaskan dalam ketuhar yang diperbuat daripada batu bata memberikan rasa pedas pada roti.

Bukan itu saja gimik ‘memecahkan’ kepingan roti sebelum dapat menikmati kelembutan daging kambing pasti mengujakan setiap pelanggan.

Set nasi kari kambing Hyderabad dihidangkan bersama nasi Pakistan atau kabuli pulao, ulam-ulaman, air asam utara serta kuah yang berharga RM20 untuk seorang makan.

Menurut Yusdey, dia mengambil masa kira-kira empat bulan untuk mengubah resipi yang berasal dari Pakistan itu dengan bereksperimen menggunakan pelbagai rempah tempatan.

Katanya, tidak semua bahan dalam resipi asal boleh digunakan kerana ada yang tidak sesuai dengan selera rakyat Malaysia.

“Setelah berjaya mendapatkan rasa, aroma dan tekstur yang diinginkan, saya yakin hidangan ini akan menjadi pilihan pelanggan. Sebanyak 150 bekas habis dijual pada hujung minggu manakala hari biasa 50 bekas.

“Melihat sambutan yang diterima saya perkenalkan menu baharu iaitu set kombo lamb shank yang berharga RM50 untuk tiga orang makan. Pelanggan yang memesan menu kombo akan mendapat air minuman satu cerek secara percuma,” katanya.

Tambah Yusdey, dia menghasilkan sendiri kari kambing bermula dari proses penyediaan bahan sehingga dihidangkan kepada pelanggan.

Jelasnya, dia mementingkan kualiti, rasa dan standard yang sama pada setiap hidangan agar pelanggan berasa puas dan berbaloi dengan harga dibayar.

“Saya pernah melatih pekerja untuk membantu saya tetapi kualitinya tidak seperti yang saya inginkan.

“Saya bukan cerewet tetapi saya mahu memberi yang terbaik kepada pelanggan,” ujarnya.

Oleh kerana permintaan yang tinggi, kari kambing Hyderabad sentiasa laris dan gerai terpaksa ditutup awal menyebabkan ramai pelanggan berasa kecewa.

Justeru, Yusdey merancang untuk memanjangkan operasi perniagaan sehingga malam dengan menu yang berbeza tetapi masih menjadikan kari kambing sebagai tema utama. – UTUSAN

Nasi Kambing Hyderabad
Lokasi: Batu Berendam, Melaka
Makanan kegemaran ramai: Set nasi kari kambing,
set kombo lamb shank

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya