TERKEJUT juga apabila beberapa pendedahan tentang perkongsian teman lelaki mula tular di laman sosial.
Apatah lagi, lelaki yang dimaksudkan itu ialah penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun.
Biarpun itu hanyalah satu gurauan daripada peminat-peminatnya, namun ada segelintir pihak beranggapan perkara itu boleh mengundang bahaya didorong oleh perasaan obses dan minat melampau.
Jawablah mendapatkan penyanyi Senyum itu, adakah dia selesa dengan keadaan itu?
Tidakkah ciapan berbentuk sedemikian boleh membawa bahaya? Adakah dia sedar dan risau dengan pelbagai kemungkinan? Aziz, Jawablah!
Ada beberapa ciapan daripada pengguna media sosial yang berkongsi pendedahan mereka memiliki ‘teman lelaki’ sama. Siap letak gambar Aziz lagi di dalam dompet, reaksi Aziz bagaimana apabila dimaklumkan tentang itu?
Sebelum tular hal ini, saya sudah nampak ciapan sedemikian daripada dua peminat. Saya cuma jawab, alamak! Sebab bagi saya, itu satu jenaka dan mereka juga tahu ciapan itu bukan sesuatu yang serius. Inside joke antara kami. Tetapi bila tular dan ada yang menganggap itu satu perkara serius, saya terkejut tetapi pada masa sama, terhibur dengan peminat. Bayangkan sampai dalam group keluarga pun ada tanya, mana satu teman wanita saya.
Ada yang anggap itu satu gurauan tetapi ada juga yang minta Aziz berhati-hati terutama di kala obsesi segelintir peminat boleh membawa bahaya. Adakah Aziz sendiri mempunyai perasaan takut atau risau itu?
Saya tidak ada perasaan takut atau risau pun sebab hubungan saya dengan peminat memang rapat. Tetapi kami tahu batas dan sekiranya melampau, saya sendiri akan bersuara. Saya memang suka berbalas komen dan pesanan dengan peminat. Itu mungkin antara sebab mereka masih bersama saya. Tahun lepas, bila saya lancarkan album yang ada kad bergambar, mereka simpan juga dalam dompet. Rasa bangga dan dihargai sangat.
Aziz sendiri pernah tak berhadapan situasi peminat terlampau? Yang mungkin membahayakan Aziz?
Sepanjang karier, Alhamdulillah belum ada lagi. Takut juga kan, tetapi saya akan berhati-hati. Lagipun, saya percaya peminat setia dan sejati sangat menghargai serta menyokong selebriti kesayangan mereka tanpa membawa unsur negatif. Saya juga berhati-hati. Adakala tak semua perkara kita boleh kongsi di media sosial. Perlu ada batasan dan had tertentu juga dalam perkongsian.
Namun di sebalik ‘kegilaan’ itu, ada juga yang bertanya sinis, siapa Aziz Harun? Terasa hati atau anggap itu adalah perasaan cemburu dari pihak lain sahaja?
Jujur, sikit pun saya tidak terasa. Tetapi gembira ada lah bila ada yang tunjuk rasa minat mahu tahu dan kenal siapa Aziz Harun. Saya sangat beruntung, bermula dari zaman lagu Senyum sehingga sekarang, sokongan itu ada. Saya sangat hargai mereka yang mungkin hanya kenal lagu sahaja. Saya ini dari Brunei dan apabila diberi peluang berkarya di Malaysia, satu penghargaan apabila dikenali biarpun ada yang mungkin tidak tahu siapa saya. Saya harap selepas ini, lebih ramai orang dengar karya-karya saya dan juga mungkin simpan gambar saya dalam dompet mereka pula!
Perkembangan terkini kerjaya Aziz? Mungkin akan ada showcase atau konsert tahun 2024?
Baru-baru ini, saya baru selesai mini konsert pertama, Aziz di Kuala Lumpur yang mungkin tertumpu kepada peminat setia yang dekat. Itu adalah penutup 2023 yang sangat indah dan bermakna. Saya juga baru sahaja melancarkan single baharu, LDDT (Lebih Dari Dirimu Tahu) yang ditulis khas buat peminat-peminat yang sudi meletakkan gambar saya di dompet mereka. Tahun ini, lebih banyak acara hiburan untuk bertemu peminat!