KUALA TERENGGANU: Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini diarah dikosongkan sementara setelah satu objek menyerupai bom ditemukan oleh pengawal keselamatan di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut, hari ini.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Terengganu menemukan bungkusan mengandungi bateri dan cebisan lampu suluh.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan kompleks mahkamah kemudian tidak menemukan sebarang unsur-unsur letupan lain yang boleh mengancam keselamatan.
“Pengawal keselamatan yang bertugas di kompleks mahkamah itu menghubungi pihak polis memaklumkan menemui satu bungkusan berwarna putih di hadapan pintu masuk utama.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan yang dibalut kertas itu mengandungi bateri dan cebisan disyaki lampu suluh yang kemudiannya telah dimusnahkan oleh UPB Kontinjen Terengganu.
“Barang kes itu dibawa ke makmal forensik bagi tujuan penilaian dan pihak polis juga membuat pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar kompleks mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas Mazli, motif kejadian masih belum dikenalpasti dan satu kertas siasatan telah dibuka pihak polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan jenayah.
Tinjauan pihak media di kompleks mahkamah itu pagi tadi mendapati anggota polis forensik masih giat menjalankan pemeriksaan dengan kawasan bangunan itu turut dikawal ketat.
Difahamkan juga semua prosiding pendengaran hari ini telah dilapangkan dengan kakitangan mahkamah juga diarah untuk mengosongkan bangunan. – UTUSAN