SEBELUM wujudnya Arctic Monkeys, The Killers, Maroon 5, Coldplay dan Deafheaven, kumpulan Oasis lebih dahulu mendominasi arena muzik global.
Ditubuhkan pada 1991 di Manchester, England, kumpulan ini mula digerakkan dengan lima anggota termasuk Liam dan Noel Gallagher, Paul Arthurs, Paul McGuigan dan Tony Mc Carroll.
Lagu-lagu yang mereka hasilkan juga bertaraf juara carta. Antaranya Wonderwall, Whatever dan Don’t Look Back in Anger. Sehingga kini lagu-lagu Oasis diputarkan di radio dan platform digital.
Oasis, seperti kebanyakan band lain, berdepan fasa sukar dan turut bertukar ahli. Adik beradik Gallagher merupakan ahli asal yang menerajui kumpulan itu sehingga Oasis terkubur pada tahun 2009.
Diiktiraf sebagai antara kumpulan terawal yang diwujudkan pada era kegemilangan Britpop, Oasis kekal menjadi band United Kingdom yang prominent dan disegani. Berikut penulis kongsikan beberapa fakta tentang Oasis.
The Rain
Kumpulan ini pada awalnya dinamakan sebagai the Rain sebelum Liam mencadangkan agar nama tersebut digantikan dengan Oasis.
Nama itu diinspirasikan daripada poster konsert kumpulan Rock, Inspiral Carpet yang dilekatkan pada dinding bilik tidur Liam dan Noel ketika zaman remaja mereka.
Album platinum
Album kedua, (What’s the Story) Morning Glory? merupakan album terlaris pada era 90-an menundukkan album Spice Girls dan Madonna.
Album tersebut juga menjadi album yang menerima pengiktirafan platinum tertinggi iaitu sebanyak 14 kali.
Rekod tersebut hanya dipecahkan pada 2011 oleh penyanyi, Adele apabila albumnya, 21, meraih 16 pengiktirafan platinum.
Pada masa yang sama, album ketiga mereka, Be Here Now, sehingga kini menjadi album paling cepat terjual sepanjang sejarah di United Kingdom dengan 350, 000 unit terjual pada hari ia dilancarkan iaitu 21 Ogos 1997.
Angka tersebut meningkat hampir dua kali ganda pada minggu kedua album itu dipasarkan.
Wonderwall
Tajuk lagu ini diinspirasikan daripada runut instrumental dipopularkan ahli the Beatles, George Harrisons yang diterbitkan pada tahun 1968.
Penulis Wonderwall, Noel pernah memaklumkan bahawa dia membandingkan setiap lagu ditulisnya dengan lagu-lagu Beatles.
Noel yakin, jika dia hidup di zaman Lennon, dia mungkin orang yang mencipta band terkenal dunia dan bukannya Beatles.
Saman
Band ini pernah berdepan tindakan saman kerana meniru runut lagu Coca-Cola, I’d Like to Teach the World to Sing (In Perfect Harmony)” untuk single mereka yang bertajuk Shakermaker.
Oasis juga pernah disaman kumpulan the Rutles kerana meniru melodi lagu How Sweet to Be an Idiot untuk lagu, Whatever.