KOTA KINABALU: Cemerlang dalam kokurikulum, aktif dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik melayakkan graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurilly Rania Jusly @ Rusly, 23, dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Dia menerima anugerah tersebut bersempena Majlis Konvokesyen UMS ke-25 yang disampaikan Tun Juhar Datuk Mahiruddin baru-baru ini.
Ketika ditemui, Nurilly Rania amat berbesar hati untuk menerima anugerah ini dan tidak menyangka akan mendapatnya kerana berpendapat ramai lagi calon lain yang setara dengannya.
“Sebenarnya saya ada menaruh harapan untuk mendapat anugerah ini tetapi tidaklah sehingga ke tahap saya akan rasa kecewa kalau tidak berjaya mendapat anugerah ini.
“Pada saya, kunci kejayaan adalah sokongan yang saya peroleh daripada pelbagai pihak dalam mengikuti aktiviti berunsurkan kepimpinan dan inovasi di dalam dan luar UMS,” katanya.
Tambahnya, Nurilly Rania telah mewakili Malaysia bagi beberapa program luar negara dalam bidang inovasi dan berjaya menyandang gelaran Juara Wilayah dan wakil ASEAN bagi #ReshapeEurope Hackathon mengenai hubungan ASEAN-EU untuk ke peringkat seterusnya di Berlin, Germany pada bulan Julai yang lalu.
Dia juga telah mewakili Malaysia bagi Program Huawei Seeds for the Future 2022 dan tersenarai sebagai finalis 12 teratas untuk Hackathon Tech4Good serta dianugerahkan ‘Best Member Award’.
Nurilly Rania meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.86 dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan menerima Ijazah Sarjana Muda TESL dengan Kepujian.
“Rasa minat saya dengan kursus TESL ini juga secara tidak langsung telah mendorong saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Pelajar perlu sentiasa berseronok dengan mengikuti aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti kepemimpinan agar mereka dapat mengukuhkan resume pada masa yang sama.
“Pengurusan masa yang baik antara akademik dan aktiviti kokurikulum juga menjadi keutamaan saya,” katanya.
Ketika ini Nurilly Rania sedang menunggu penempatan bekerja di SM Tshung Tsin sebagai guru bahasa Inggeris dan telah menandatangani kontrak bekerja selama setahun dan akan mengikuti orientasi guru baharu pada minggu akhir bulan ini.
Beliau berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat sarjana secara sambilan sambil bekerja.-UTUSAN