Nur Hasya cipta sejarah wanita pertama Presiden MPP UniSZA - Utusan Malaysia

Nur Hasya cipta sejarah wanita pertama Presiden MPP UniSZA

NAIB Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam (empat, kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Presiden MPP UniSZA kepada Nur Hasya Harun (tiga, kanan) di Kuala Nerus, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pelajar Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) wanita pertama di universiti itu bagi sesi 2023/2024.

Pemilihan Nur Hasya Harun, 25, sebagai Presiden MPP UniSZA setelah mendapat sokongan 17 daripada 30 anggota kabinet MPP dalam Mesyuarat Pembentukan Kabinet MPP, semalam.

Menurutnya, jawatan itu adalah satu amanah dan tanggungjawab berat untuk dirinya dalam memperkasakan peranan mahasiswa universiti sebagai aset negara pada masa akan datang.

“Namun, saya percaya dengan kekuatan dan kredibiliti setiap ahli MPP yang ada mampu membantu saya dalam melaksanakan semua visi dan strategi yang akan disusun nanti.

“Insya-Allah, kami akan melakukan banyak program berteraskan kebajikan dan kepimpinan selari dengan Pelan Strategik UniSZA serta akan memastikan ketelusan antara MPP dan mahasiswa terutamanya dalam pelaksanaan program dan urusan kewangan,” katanya di sini, hari ini.

Pilihan raya kampus UniSZA berlangsung mulai 18 Disember 2023 dan berakhir semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses pembentukan jati diri sebagai seorang pemimpin dapat disemai sejak dari universiti kerana MPP sendiri adalah platform mahasiswa menyampaikan suara mereka kepada pengurusan universiti.

“Terima kasih kepada semua atas kepercayaan dan amanah yang diberi. Ini adalah penggal kedua penyertaan saya sebagai MPP kerana sebelum ini saya diberi jawatan Exco Kelab Persatuan.

“Sebelum menjadi MPP, saya telah diberi kepercayaan sebagai ahli Majlis Kolej Kediaman sebanyak dua kali.

“Penglibatan saya dalam dua badan terbesar mahasiswa di UniSZA adalah bukti bahawa universiti ini mampu melahirkan bakat kepimpinan muda yang berdaya saing kerana pengalaman dan usaha perlu selari sebagai langkah dalam menjadi role model kepada mahasiswa lain,” katanya.

Anak sulung dari empat beradik itu berharap dapat memastikan barisan MPP kali ini bersatu hati dan mengamalkan sikap terbuka kerana ia adalah faktor yang menjadi punca kejayaan setiap organisasi.

“Saya berharap MPP kali ini juga mampu menjadi contoh ikutan kepada mahasiswa terutamanya dalam empat teras utama PASU iaitu Pimpinan, Akademik, Sukarelawan dan Usahawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya