ARAU: Anak penoreh getah, Nur Alia Maisarah Abdullah,18, yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima Anugerah Ikon Didik Asnaf Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi kawasan Arau 2023.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka itu menerima wang tunai RM1,000 serta cenderamata daripada MAIPs yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis di pekarangan Rumah Warisan Arau di sini, semalam.
Nur Alia kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, seorang penoreh getah, Abdullah Ismail,54, sebak kerana terlalu gembira selepas anaknya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM.
Nur Alia membuat kejutan dengan datang sendiri ke kebun getah bagi menunjukkan keputusan semua A tersebut kepada bapanya yang sedang menoreh getah.
Dengan keputusan tersebut membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang bagi Nur Alia mendapat keputusan sangat cemerlang sekali gus turut membanggakan sekolahnya yang terletak di pinggir bandar.
Nur Alia juga sentiasa berpegang kepada prinsip berfikiran positif dan percaya kemiskinan itu bukan penghalang seseorang untuk terus berjaya dan mengubah nasib keluarga.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin berharap supaya para pelajar terutamanya golongan asnaf menanamkan dalam diri masing-masing untuk terus bersemangat mencari dan mendalami ilmu pengetahuan.
“Ia demikian kerana ilmu merupakan ‘harta’ yang tidak ternilai dan akan mampu merubah kehidupan serta masa depan mereka,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut berkenan singgah bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih bersempena program Kayuhan MAIPs Peduli.
Ketiga-tiga penerima tersebut ialah Jasmin Sabri, 63, Noor Mohamad Junus, 79, dan Norhayati Hassan, 52, dengan masing-masing menerima wang tunai RM700, bera fidyah dan pek bantuan makanan MAIPs.-UTUSAN