PETALING JAYA: Bekas menteri, Tan Sri Noh Omar kembali dalam bidang guaman apabila menerima semula tauliah sebagai seorang peguam bela dan cara.
Menerusi catatan Facebook, Noh memaklumkan, beliau menerima tauliah itu di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
“Alhamdulillah saya diterima semula menjadi peguam bela dan peguam cara untuk menjalankan tugas di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Seksen dan Mahkamah Majistret. Semoga semuanya dipermudahkan. Mohon sahabat-sahabat semua doakan saya. Terima kasih,” katanya.
Sebelum menceburi bidang politik, Noh yang merupakan jurusan undang-undang pernah terlibat dalam firma guaman Ahmad Famy & Noh.
Bagaimanapun, penglibatan bekas Pengerusi UMNO Selangor itu sebagai seorang pengamal undang-undang mula bertukar apabila beliau menjadi calon Ahli Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dan kemudian menyandang kerusi itu sehingga PRU 2022.
Selain itu, Noh pernah dilantik sebagai timbalan menteri dan menteri penuh membabitkan pelbagai kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pertanian.
Namun beliau tidak dicalonkan pada PRU15 di samping dipecat daripada UMNO pada tahun lalu. – UTUSAN