SEBANYAK 27 persatuan belia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Kedah yang bergabung dengan Majlis Belia Negeri (MBN) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan berlangsung di Komplek Belia dan Sukan Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Presiden MBN Kedah, Amir Murshidi Samsudin berkata, gabungan itu di bawah akta Pembangunan Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperjuangkan tentang suara dan program sahsiah belia dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi.
Menurutnya, MBN Kedah terus mengorak langkah berkhidmat demi belia untuk masa hadapan.
Mesyuarat tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah, Radhi Mat Din.
“Selepas mesyuarat agung ini, harap semua persatuan gabungan MBN Kedah dapat menjalankan aktiviti untuk memajukan komuniti di tempat masing-masing,” katanya. –UTUSAN