PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo kini sedang berhubung dengan pegawai dari Japan Airlines serta pihak berkuasa Jepun untuk menentukan jika ada rakyat Malaysia yang terkesan dengan insiden melibatkan pesawat berkenaan petang tadi.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, pihaknya melalui kedutaan itu sedang memantau rapat perkembangan dan menghulurkan bantuan sewajarnya berhubung kejadian pesawat JAL 516 bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun (JCG) di landasan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Menurut laporan, kesemua 379 penumpang dan kru penerbangan JAL 516, termasuk lapan kanak-kanak, berjaya diselamatkan, dengan sekurang-kurangnya 17 orang cedera, sementara lima daripada enam anak kapal pesawat JCG disahkan meninggal dunia.
“Malaysia menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat daripada insiden ini, termasuk rakyat dan Kerajaan Jepun.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pihak kedutaan boleh dihubungi:
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo
20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku,
150-0036 Tokyo
+81-3-3476-3840 +8180-3913-3840 (kecemasan)