SUNGAI PETANI: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berharap tender pengagihan baja subsidi kepada pesawah dikeluarkan segera oleh kerajaan bagi membolehkan mereka membekalkan input pertanian itu untuk tanaman padi Musim 1/2024.
Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, kilang pengeluaran baja miliknya, Malaysian NPK Fertilizer yang beroperasi di Gurun kini sudah menghasilkan 35,000 tan metrik baja untuk kegunaan musim tanaman tersebut.
Katanya, NAFAS kini sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghantar bekalan baja itu kepada pesawah di seluruh negara melalui 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Tender pengagihan baja bagi tahun ini belum dikeluarkan lagi oleh kerajaan dan berlaku sedikit kelewatan walaupun di peringkat NAFAS kita kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghantar pesanan.
“Kita juga harap kerajaan dapat mengeluarkan tender secara rundingan terus kepada NAFAS seperti tahun-tahun sebelum ini bagi membekalkan kira-kira 240,000 tan metrik baja yang diperlukan di 320,000 hektar sawah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama Ahli Pengarah Jemaah NAFAS, Datuk Aimi Jusoh mengadakan lawatan ke kilang Malaysian NPK Fertilizer di sini, hari ini.
Menurut Zamri, musim penanaman padi untuk tahun ini sudah bermula di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak.
“Apabila penanaman padi bermula dan benih sudah ditabur, petani memerlukan baja untuk proses seterusnya, justeru kita harap kerajaan melihat isu ini agar menyegerakan proses tender.
“Bekalan baja kita juga ketika ini banyak sehinggakan kita terpaksa menghentikan sementara pengeluaran sejak seminggu lalu susulan tiada ruang lagi untuk penyimpanan,” katanya.
Tambah beliau, NAFAS memberi jaminan tidak akan berlaku kelewatan terhadap penghantaran bekalan baja ke seluruh negara selaras dengan kempen ‘Zero Late Delivery’ yang diperkenalkan mereka sebelum ini.
“Sebanyak 30 buah lori boleh digerakkan dalam sehari dan setiap lori berupaya memuatkan sebanyak 25 tan metrik baja, dianggarkan hampir 1,000 tan metrik mampu diagihkan sehari ke PPK yang membuat tempahan.
“Ini antara langkah yang kita ambil bagi memastikan tidak berlaku kelewatan pengagihan baja seperti yang pernah berlaku sebelum ini akibat masalah peperangan dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN