PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam pengimportan barangan berasaskan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu antara perkara disentuh dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut membincangkan mengenai penambahbaikan tatakelola permit diluluskan (AP) dan permit import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara.
Menurut beliau, kerajaan akan mencari satu formula yang bukan hanya memberi keuntungan kepada pengguna, tetapi kepada pengeluar tempatan terutamanya dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat tersebut turut dipersetujui setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisis risiko import.
“Ketua Audit Negara disaran untuk melaksanakan proses audit bagi sektor-sektor terpilih bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat ditetapkan.
“Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal, manakala Suruhanjaya Persaingan Malaysia diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat MTEN yang pertama untuk tahun ini.
Dalam pada itu itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat MTEN juga menyentuh aspek berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada 2 Januari lalu.
Katanya, MTEN telah membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah-langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan. – UTUSAN