CYBERJAYA: Penyedia penyelesaian perubatan halal, MDC Asia Link Bhd (MDC Asia) menjalinkan kerjasama dengan rangkaian taska terbesar di Malaysia, Brainy Bunch bagi penyediaan perkhidmatan rawatan gigi patuh syariah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia Link Bhd (MDC Asia), Dr Aslan Bacho, kerjasama berkenaan membolehkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan pergigian dapat diberikan terutama kepada golongan kanak-kanak.
“Kami yakin dengan kerjassama ini, kedua-dua syarikat dapat menawarkan pelbagai lagi bentuk kerjasama dalam mencapai aspirasi bersama.
“Dengan konsep ‘Beyond Healthcare’, MDC Asia Link Berhad mempunyai visi ke arah menjadi penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan halal terkemuka di Asia Tenggara,” katanya yang juga Pengasas MDC Asia di sini kelmarin.
Terdahulu beliau menandatangani MoU itu dengan Mohd Fadzil Hashim yang mewakili pihak Brainy Bunch yang turut dihadiri Eksekutif Lembaga Pengarah Syarikat MALB, Dr. Zeefitri Saniah Bidin; Ketua Pegawai Operasi MALB, Noor Rozaimy Abdul Karim dan Ketua Pegawai Kewangan MALB, Asmadey Ibrahim.
Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, kerjasama ini dapat membantu kedua-dua pihak dalam mengembangkan perniagaan masing-masing demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pada masa ini, MALB melalui My Dental Care memiliki sebanyak 25 klinik gigi di sekitar Lembah Klang termasuk tiga cawangan di luar Selangor, antaranya Manjung, Perak; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senawang, Negeri Sembilan.
Klinik My Dental Care terkenal dengan rawatan pediatrik pergigian, dan mempunyai sebuah klinik gigi khas untuk kanak-kanak di Shah Alam.
Klinik khas untuk kanak-kanak itu dikendalikan oleh Dr Zeefitri yang juga merupakan pakar pergigian pediatrik. – UTUSAN