KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 41 pusat rekreasi di negeri ini yang berisiko berlaku fenomena kepala air, air pasang besar dan angin kencang terutama pada musim tengkujuh ini.
Pengarah JBPM negeri, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, pusat rekreasi berkenaan membabitkan lokasi air terjun, sungai, jeram, pantai, gunung, bukit dan pulau di seluruh Terengganu.
Justeru itu, menurut beliau, penggemar aktiviti luar atau ‘outdoor’ dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang kegiatan lasak di tempat rekreasi itu meskipun cuaca agak baik ketika ini.
Karanya, cuaca buruk masih diramalkan melanda dan boleh berlaku bila-bila masa yang dibimbangi mendatangkan bencana seperti lemas, sesat atau lebih buruk lagi, kejadian tanah runtuh.
“Jika dilihat situasi semasa banjir gelombang ketiga sudah berakhir di Terengganu beberapa hari lalu tetapi musim tengkujuh masih diramalkan melanda sehingga 28 Februari atau awal Mac.
“Kadang-kadang ada segelintir ‘kaki outdoor’ berasakan sekarang masa sesuai untuk kembali menjalankan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berkelah atau melakukan sukan air.
“Nasihat saya, tangguhkan perancangan itu kerana risiko berlaku kejadian buruk tetap ada memandangkan kita masih dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) 2023/24,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, sebanyak 13 pusat rekreasi di Kuala Terengganu dikenal pasti berisiko antaranya Bukit Besar, Pantai Pandak, Pantai Batu Buruk dan Pulau Redang selain Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus.
Selain itu, lapan pusat rekreasi di Besut juga dianggap tidak sesuai untuk aktiviti luar seperti Gunung Tebu, Lata Tembakah, Lata Belatan, La Hot Spring, Bukit Kluang serta Pulau Perhentian.
Tambah Hassan ‘As’ari lagi, kejadian tiga remaja lelaki tersesat akibat cuaca buruk ketika memanjat bukit di Bukit Janda Mandi, Kemaman, Jumaat lalu, perlu dijadikan iktibar kepada orang ramai.
“Tasik Kenyir dan Sekayu di Hulu Terengganu, Lata Changkah, Lata Payung, Pantai Penarik dan Pantai Mangkuk (Setiu), Pulau Kapas, Pantai Kelulut dan Pantai Kekabu di Marang turut dianggap berisiko,” ujarnya. – UTUSAN