ALOR SETAR: Seorang murid lelaki berusia 12 tahun merupakan antara 478 individu yang ditahan polis dalam operasi cegah lumba haram sempena sambutan tahun baharu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seramai 60 pegawai dan anggota terlibat dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di persimpangan Lampu Isyarat Kepala Batas, di sini pada pukul 3.40 pagi.
Katanya, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar terlebih dahulu melakukan intipan sejak pukul 1 pagi.
“Tinjauan mendapati terdapat pergerakan sekumpulan besar penunggang dan pembonceng motosikal memasuki bandar raya ini dan aktif melakukan aksi-aksi berbahaya selain menjadikan kawasan tertentu sebagai tempat perlumbaan.
“Bertindak daripada itu, pasukan operasi menyusun strategi di beberapa lokasi sekitar untuk melakukan kepungan. Sebahagian mereka yang terkejut dengan kehadiran polis cuba meloloskan diri namun tindakan itu sia-sia apabila kesemua laluan keluar dikepung sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, hasil operasi itu menyaksikan sebanyak 430 motosikal bersama 478 individu ditahan, manakala 70 buah motosikal disita.
“Sebanyak 340 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu serta pengubahsuaian kenderaan.
“Semakan teliti turut dilakukan terhadap nombor enjin dan casis bagi memastikan kenderaan tersebut bebas daripada sebarang kegiatan jenayah lain,” katanya.
Sementara itu Ahmad Shukri berkata, dua individu yang didapati positif dadah jenis methamphetamine turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. –UTUSAN