KUALA LUMPUR: Kenyataan kontroversi seorang pempengaruh media sosial berkenaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular baru-baru ini terus menerima kritikan ramai pihak termasuk golongan selebriti.
Terbaru, pengacara terkenal, Uyaina Arshad tampil menyelar pempengaruh berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Kata Uyaina, sebagai pempengaruh individu tersebut tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana berpotensi menjadi ikutan.
“Siapa nama influencer ini? Terpaling berjaya sangat ke sudah itu?
“Kalau sedar diri itu influencer, apa sahaja yang anda buat atau cakap akan mempengaruhi orang lain. Jadi janganlah keluarkan kenyataan sebegini.
“Mungkin anda patut masuk sekolah balik dan ambil balik SPM sebab cakap macam tak ada akal,” tegurnya.
Pempengaruh berkenaan menerusi program podcast di media sosial baru-baru ini mengeluarkan kenyataan sensasi kerana menyifatkan belajar di sekolah dan menduduki SPM tidak bernilai.
Antara yang tampil mengkritik kenyataan pempengaruh berkenaan adalah penyanyi dan pelakon, Naim Daniel dan beberapa pempengaruh media sosial lain.