PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menyiasat motif bayi didera sehingga maut oleh ibu bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek masih direman dan siasatan masih dijalankan.
“Hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bayi lelaki maut dipercayai didera suami isteri yang juga ibu bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini.
Mangsa yang berusia 18 bulan itu dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman tersebut sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya berusia 20-an.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit akan dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.
Hussein mengesahkan kejadian terbabit dan sepasang suami isteri turut ditahan bagi membantu siasatan. – UTUSAN