PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mahu memperkenalkan Gelombang Malaysia atau Malaysian Wave bagi melonjakkan sektor pelancongan negara sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, inisiatif baharu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra dalam misi menjayakan MyWave di luar negara.
“Ketika ini kita ada sebanyak 34 buah cawangan Tourism Malaysia dan 11 pejabat wakil pemasaran di seluruh dunia yang sedia bergandingan dengan pihak kedutaan,” katanya ketika berucap pada Program Penyerahan Busana Tradisional, di sini hari ini.
Motac ketika ini dalam persiapan melaksanakan VM2026 yang menyasarkan kedatangan 35.6 juta pelancong luar dengan unjuran perolehan pendapatan mencecah RM147 bilion.
MyWave diinspirasikan daripada kejayaan Korean Wave atau Hallyu yang diperkenalkan negara itu akhir 1990-an lalu dengan mempromosikan kebudayaannya ke seluruh dunia.
Sementara itu Mohamad ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya tiada masalah dan ada membuat persediaan untuk VM2026 malahan pelbagai program diatur pada tahun ini meliputi peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN baharu pada 2025 kelak yang akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Laos akhir tahun ini. – UTUSAN