Misbun dalam dilema ke Thailand

Misbun dalam dilema ke Thailand

EXCO Negeri Selangor, Borhan Aman Shah bersama Misbun Sidek dan Datuk Seri Mohd. Jalani Sidek melawat pameran anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek masih memerlukan masa sebelum memuktamadkan keputusannya berkelana ke Thailand ataupun sebaliknya.

Misbun mengesahkan bahawa dia menerima tawaran itu daripada Persatuan Badminton Thailand (BAT), namun tidak mendedahkan jawatan yang ditawarkan sama ada untuk mengendalikan skuad senior ataupun remaja.

Khabar angin ini semakin kuat apabila pengendali berusia 63 tahun itu mula kembali ke gelanggang awal bulan lalu dengan melatih tiga pemain muda Thailand iaitu Punnatat Prempunpong, Nuttanon Maku dan Tonkid Saeheng di Nusa Mahsuri.

Ini merupakan projek usahasama Nusa Mahsuri bersama Persatuan Badminton Thailand (BAT) bagi menghadapi Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal pada 2026.

Tetapi, Misbun masih dalam persimpangan memandangkan dia belum pernah mengendalikan mana-mana pasukan luar negara sebelum ini.

“Saya tidak kisah apa pun jawatannya, bagi saya apabila mereka mengemukakan tawaran, ia adalah satu penghargaan yang sangat penting kepada saya. Tetapi persoalannya, adakah saya boleh melaksanakannya? Sebab itu saya terima dahulu untuk tempoh percubaan, kerana tiada sebarang tekanan daripada Thailand.

“Kita belum berbincang lagi perkara itu, masih lagi mencuba-mencuba, setakat ini saya belum ada sebarang kata putus.

“Budaya di Thailand adalah berbeza dengan kita di Malaysia. Sebelum mula melatih mereka, saya perlu tahu budaya mereka terlebih dahulu, kalau tidak, akan menjadi susah.

Kalau pemain itu sudah pandai tidak mengapa, tetapi ini adalah projek pemain program pembangunan bagi menghadapi Kejohanan Remaja Asia dan sebagainya, jadi banyak perkara perlu dipertimbangkan untuk saya memenangi hati mereka,” jelas Misbun yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Pameran Anak-Anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam semalam.

Biarpun Misbun belum pernah berkelana ke luar negara sebagai jurulatih, namun kepakarannya kerap ditagih beberapa pasukan asing yang memohon mengadakan latihan di Nusa Mahsuri.

Antaranya membuka pintu buat pasukan Denmark sehingga mereka menjadi juara Piala Thomas pada 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya