PETALING JAYA : Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mirzan dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan pengisytiharan itu perlu dilakukan Mirzan dalam tempoh 30 hari selepas satu perintah notis telah disampaikan SPRM kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 semalam.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan ahli perniagaan itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi sebelum satu notis disampaikan kepada beliu.
“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, SPRM memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.
“Seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan.
“SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan masih giat dijalankan,” jelasnya.
Utusan Malaysia melaporkan, anak kepada seorang bekas Perdana Menteri hadir di SPRM bagi membantu siasatan yang dijalankan berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.
Utusan Malaysia difahamkan, ahli perniagaan itu antara beberapa individu berprofil tinggi yang namanya disebut di dalam pendedahan Pandora Papers.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan SPRM memberi fokus pelbagai sudut termasuk mengesan aset-aset dan pelaburan yang dikaitkan ahli perniagaan itu di luar negara kemungkinan ia hasil daripada projek-projek kerajaan.
“Selain, siasatan SPRM itu juga mempunyai kaitan berhubunng isu penglibatan beliau di dalam sebuah syarikat Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an.
“Ketika itu, syarikat berkenaan kemudiannya diselamatkan (bail-out) oleh sebuah syarikat gergasi petroleum negara sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1998 yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri,” kata sumber itu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, beberapa ‘taikun perniagaan’ terkemuka di negara ini akan dipanggil SPRM.
Untuk rekod, Pandora Papers adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia termasuk Malaysia yang menyembunyikan kekayaan masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’.
Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar, mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks diwujudkan merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan dalam bentuk wang dan aset.
Menerusi pendedahan sama, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini. – UTUSAN