Minta RM100: Tiga anggota polis trafik direman tiga hari - Utusan Malaysia

Minta RM100: Tiga anggota polis trafik direman tiga hari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga anggota polis trafik ditahan bagi membantu siasatan kes video tular menawarkan bayaran RM100 terhadap pempengaruh media sosial dari United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua anggota berusia antara 37 hingga 42 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut.

Katanya, ketiga-tiga mereka merupakan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Siasatan kes ini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan dalaman juga dijalankan terhadap kes berkenaan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri menyeru mangsa agar tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera dijalankan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, tular satu video di YouTube ‘THREAD the globe’ yang memaparkan pasangan pelancong dari UK dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ disaman anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Difahamkan, pasangan pelancong yang menaiki sebuah van itu ditahan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ketika dalam perjalanan ke Ipoh.

Dalam video berkenaan, anggota polis trafik itu memberitahu pasangan tersebut bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer (KM) sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60KM

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya