MINDEF pertingkat kebajikan, pembangunan kapasiti anggota ATM

MINDEF pertingkat kebajikan, pembangunan kapasiti anggota ATM

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2024 kepada warga kerja Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, Selasa lalu. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan mempertingkatkan lagi kebajikan dan pembangunan kapasiti untuk keseluruhan anggota dan bekas tentera menerusi projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penambahbaikan itu dilakukan bagi memastikan setiap anggota dapat memberikan khidmat yang lebih baik dan cemerlang walaupun selepas tamat perkhidmatan.

“Pembangunan dan insentif perajurit bakal melibatkan penyediaan kemudahan perumahan, pinjaman dan imbuhan serta sokongan perubatan atau kesihatan dan kita akan jayakannya mengikut perancangan,” katanya.

Menurut beliau ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2024 di Wisma Pertahanan, di sini Selasa lalu, setakat ini, sebanyak 974 unit rumah anggota tentera di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), penyiapan beberapa lagi projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), serta pelbagai penyelenggaraan bernilai RM400 juta akan dilaksanakan.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan menambah baik perkhidmatan kesihatan ATM dengan membina beberapa Poliklinik ATM, sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera (HAT), mewujudkan Special OutReach Clinic dan melaksanakan Program Mental Health,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga akan mengaplikasikan konsep Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) iaitu penukaran pengalaman dalam sesuatu bidang menjadi pengiktirafan akademik secara formal.

“Kedua-dua pendekatan ini membolehkan anggota kita menamatkan perkhidmatan dengan kelayakan akademik yang bersesuaian tanpa perlu untuk mengikuti proses pengajian yang baharu,” jelasnya.

Katanya, langkah itu dibuat bagi membolehkan semua anggota yang menamatkan perkhidmatan dalam sektor pertahanan negara sekurang-kurangnya memegang sijil diploma atau kelulusan-kelulusan lain dari institusi pendidikan tinggi atau institut latihan awam.

“Dalam hal ini, insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini, untuk merunding dan mengusahakan satu kerjasama strategik yang bersesuaian,” jelasnya.

Pada majlis sama, Kementerian Pertahanan turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai tanda sokongan bagi mewujudkan tadbir urus yang baik.

Mohamed Khaled berkata, MoU tersebut merangkumi kerjasama melalui program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam juga sektor korporat.

“Dalam hubungan ini, kita tidak boleh berkompromi dengan kelemahan yang sering dikaitkan dengan tadbir urus seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang haram,” ujarnya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut melancarkan logo korporat baharu kementerian.

Reka bentuk tersebut melambangkan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai sepunya seperti integriti, cekap dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab diberikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN