PETALING JAYA: Setelah enam tahun menyepi, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin kembali masuk ke studio untuk merakamkan lagu baru.
Berita itu dikongsikan Mila atau Noorsyarmilla Jirin, 35, menerusi sebuah video di Instagram baru-baru ini.
“Saya sudah lama tidak masuk ke studio. Kali terakhir saya merakam lagu adalah sekitar enam tahun lalu.
“Tapi semua ini demi sokongan yang diberikan serta luahan peminat yang rindu nak dengar buah tangan terbaharu saya,” tulisnya.
Juara Akademi Fantasia musim kelima itu juga gembira kerana hasrat itu disokong suaminya, Isz Mustapha.
Bukan itu sahaja, Mila turut mendapatkan khidmat penyanyi, Amylea Azizan untuk menghasilkan lagu kemunculan semulanya dalam industri hiburan.
“Saya gembira apabila suami sendiri yang bawa saya berjumpa dengan Amylea. Saya terharu dia sudi menulis lagu untuk saya.
“Lagu itu sedap sangat. Semalam proses siapkan demo,” katanya yang masih berteka teki judul lagu berkenaan.
Dalam pada itu, ramai rakan artis yang teruja dengan pengumuman Mila Jirin dan tidak sabar untuk mendengar lagu terbaharunya itu.
“Jarang jumpa orang yang boleh beri rasa yang saya suka. Saya sangat gembira,” tulis Amylea di ruangan komen.
“Suara Mila bercakap pun sedap,” ujar Uyaina Arshad.
Sebelum ini Mila mendedahkan kepada media bahawa dia rindu untuk menyanyi bagaimanapun masih berusaha mendapatkan kebenaran daripada suami.
Namun begitu, kebelakangan ini suaminya berlembut hati dan memberi petanda bakal melancarkan sebuah lagu baru.