MHO terima 167 aduan babit kerugian lebih RM16 juta. 

MHO terima 167 aduan babit kerugian lebih RM16 juta

HISHAMUDDIN HASHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang lelaki tinggal di rumah baharu di atas tanah miliknya berkecai apabila mendakwa diperdaya sebuah syarikat menawarkan skim pelaburan kepentingan hartanah.

Lebih malang, bukan sahaja rumah tidak dibina malah mangsa, Senin Untung yang berusia dalam lingkungan 50-an turut mengalami kerugian bernilai  RM86,000.

Katanya, dia yang berasal dari Johor Bahru antara lebih 167 mangsa yang menyertai skim pelaburan ditawarkan oleh syarikat-syarikat itu dengan kerugian lebih RM16 juta.

Katanya, dia menyertai skim pelaburan berkenaan selepas melihat promosi yang ditawarkan syarikat terbabit di dalam laman sosial Facebook. 

“Saya ditawarkan membina rumah di atas tanah sendiri dengan harga yang lebih murah daripada pasaran. 

“Melihat pengurangan lebih RM25,000, saya bertemu dengan ejen di pejabat mereka di Serdang, Selangor sebelum membayar secara penuh iaitu RM86,000,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Senin berkata, dia hanya menyedari ditipu selepas tiada sebarang pembinaan dilakukan sehingga kini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat adalah mangsa dijanjikan dengan satu pulangan dividen lumayan serta manfaat-manfaat lain.

Kata beliau, walhal janji-janji yang diberikan oleh syarikat tersebut adalah tidak benar atau tidak wujud kerana sehingga kini mangsa tidak pernah dimaklumkan atau dikemukakan kepada mereka sebarang bukti kukuh berhubung skim pelaburan itu. 

“Mangsa dimaklumkan, wang pelaburan mereka digunakan syarikat membangunkan perusahaan hartanah dan pembangunan aset di seluruh Malaysia.

“Mangsa dijanjikan pulangan dividen yang lumayan berdasarkan kepada program yang mereka sertai tersebut,”  katanya.

Hishamuddin berkata, modus operandi bagi syarikat itu adalah dengan mengerahkan ejen-ejen atau wakil mereka mencari individu- individu yang berminat untuk menyertai skim pelaburan dianjurkan dan ditawarkan oleh syarikat-syarikat tersebut. 

Ujar beliau, mangsa dikemukakan dengan iklan dan representasi yang salah atau tidak benar, tambahan dengan pulangan atau manfaat yang sangat menarik kepada individu-individu yang ingin mencari wang sampingan.

“Syarikat-syarikat ini aktif mencari mangsa untuk menyertai skim pelaburan ini pada sekitar tahun 2020 sehingga 2022, umum diketahui bahawa pada ketika itu, Malaysia sedang diserang oleh gelombang Covid-19.

“Apabila ada individu yang menawarkan peluang untuk mencari wang sampingan atau pendapatan tambahan, makanya individu-individu memang tertarik dengan peluang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat berkenaan mempunyai cawangan berpangkalan di Sarawak dengan menawarkan dan mengiklankan kepada orang ramai untuk mendapatkan rumah dan tanah di sana. 

“Dengan representasi-representasi yang diberikan oleh ejen atau wakil syarikat itu, maka mereka bersetuju menyertai skim pelaburan tersebut. 

“Namun, atas inisiatif mangsa, mereka  bertanya kepada pihak berkuasa tempatan mengenai lokasi rumah yang akan dibina namun jawapan mereka syarikat ini tidak pernah langsung membuat permohonan untuk membina rumah di kawasan atau lokasi yang ditawarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin mengesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak mengambil ringan kes-kes penipuan yang sedang berleluasa ini.

Tegas beliau, tindakan yang tegas perlu diambil kepada mereka supaya negara ini tidak dijadikan sebagai lubuk melakukan penipuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya