PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan satu artikel yang dimuat naik di sebuah blog yang cuba mengaitkannya dengan penama-penama yang mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang.
MHO dalam satu kenyataan memaklumkan, artikel berkenaan memberitahu satu kumpulan jenayah terancang telah ditangkap dan dikenakan tindakan pendakwaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), baru-baru ini di Sabah.
“MHO berasa kesal dengan tanggapan dan naratif tidak benar lagi buruk yang cuba dibuat oleh artikel blog tersebut ke atas pihak kami,” katanya.
Katanya, MHO tidak menafikan pernah melantik Datuk Jasni Muhammad iaitu Setiausaha Politik kepada Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu sebagai penasihat MHO.
“MHO ingin menegaskan di sini bahawa urusan MHO bersama dengan mereka adalah atas urusan yang melibatkan aktiviti MHO dalam misi bantuan kemanusiaan dan juga permasalahan MHO dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Pelantikan Datuk Jasni Muhammad sebagai penasihat MHO ketika itu adalah bersandarkan kepentingan misi kemanusiaan yang diperjuangkan MHO,” katanya.
Selain itu, MHO menyatakan tidak pernah melibatkan diri dengan mana-mana entiti politik, menyokong mana mana entiti politik atau melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti politik.
“Urusan MHO ketika itu dengan Timbalan Menteri KDN melalui Setiausaha Politik beliau yang dikenalkan kepada MHO melalui seorang rakan.
“MHO tidak pernah ada urusan lain selain urusan yang melibatkan MHO dengan mereka,” katanya.
Jelasnya, posisi MHO bersama Datuk Jasni Muhammad sebagai Penasihat MHO hanyalah bersifat sementara dan dalam waktu yang singkat sahaja.
“Apa-apa perbuatan untuk memburukkan imej MHO dengan mengaitkan apa jua aktiviti yang tidak sihat ke atas MHO adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan keji.
“MHO bersedia disiasat oleh pihak berkuasa bagi membersihkan nama baik MHO dalam perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN