IPOH: Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti dan membincangkan kes keluarga kurang berkemampuan di negeri ini yang terpaksa tinggal dalam persekitaran daif dan tidak sesuai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama agensi berkaitan itu bagi melihat permasalahan tersebut dengan lebih terperinci dan mekanisma yang boleh digunakan bagi membantu mereka.
Katanya, inisiatif tersebut diambil bagi memastikan kes dua beranak yang tinggal dalam persekitaran daif di sebuah rumah pangsa di Taman Silibin, tidak berulang.
“Ini berkaitan dengan kemanusiaan, berkaitan tanggungjawab kerajaan negeri untuk melihat bagaimana rakyatnya berada dalam suasana yang perlu diperbetulkan.
“Jika ada keluarga yang mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal untuk hidup tetapi dalam masa sama perlu membayar sewa rumah, misalnya jika dapat RM300 dan bayaran sewa rumah pun RM300, apa yang mereka nak buat?.
“Ini yang kita akan lihat, kita akan tengok perkara ini secara menyeluruh untuk tengok apa yang boleh dibantu. Kita tidak mungkin dapat selesaikan semua kes dan saya percaya kes seperti ini (dua beranak), ada di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kediaman dua beranak yang dilaporkan tinggal di persekitaran dipenuhi sampah sarap dan takungan najis di Rumah Pangsa Taman Silibin di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Erwan Dahari, 46, yang mendakwa mengalami masalah kemurungan terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibunya, Miram Kadir, 77, yang uzur.
Dua beranak tersebut hidup dalam serba kedaifan di rumah tingkat empat yang tidak diketahui pemiliknya itu sejak tujuh tahun lepas.
Mengulas lanjut Saarani berkata, hasil perbincangan bersama Erwan, lelaki itu akhirnya bersetuju untuk membenarkan ibunya d itempatkan di institusi di bawah kendalian JKM.
Katanya, tindakan itu bagi membolehkan warga emas terbabit mendapat penjagaan dan perhatian sewajarnya.
“Kita juga menawarkan supaya si anak ini boleh tinggal sementara di Anjung Singgah supaya dia dapat melihat bagaimana ibunya dijaga.
“Tadi, dia ada minta supaya dibenarkan tinggal di sini (rumah pangsa) kerana mahu menjaga kucing, jadi kita pun tak nak berkeras. Kita benarkan dia untuk tinggal di sini sementara waktu.
“Bagaimanapun, dalam keadaan rumah seperti ini, rumah itu perlu dibersihkan terlebih dahulu supaya sesuai untuk didiami manusia,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Salbiah Mohamed berkata, dua beranak itu akan dibantu dengan dua bentuk bantuan bulanan berjumlah RM900 di bawah JKM.
Katanya, bantuan bulanan JKM yang akan diterima keluarga itu adalah Bantuan Am Negeri (BA) sebanyak RM400 dan Bantuan Warga Emas (BWE) RM500. – UTUSAN