Menteri Israel mahu rakyat Palestin berhijrah dari Gaza

Menteri Israel mahu rakyat Palestin berhijrah dari Gaza

GAMBAR menunjukkan tentera Israel menjalankan operasi di Semenanjung Gaza di tengah-tengah pertempuran berterusan antara tentera Israel dan kumpulan Hamas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Seorang menteri Israel menggesa agar peneroka Yahudi kembali ke Gaza manakala rakyat Palestin digalakkan berhijrah.

Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir berkata, kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian ketika perang dengan tentera Hamas di Semenanjung Gaza semakin membara.

“Kita mesti mempromosikan penyelesaian untuk menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza,” katanya.

Komen Ben Gvir itu dibuat sehari selepas Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich yang turut menggesa agar peneroka Israel kembali ke Gaza dan menggalakkan kira-kira 2.4 juta penduduk Palestin di wilayah itu untuk berhijrah.

Smotrich berkata Israel mengawal wilayah itu secara ketenteraan untuk masa yang lama.

Kedua-dua Ben Gvir dan Smotrich tinggal di penempatan di Tebing Barat yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Israel secara unilateral menarik balik tentera dan peneroka terakhirnya pada 2005, sekali gus menamatkan kehadiran di Gaza yang bermula pada 1967 tetapi mengekalkan kawalan sepenuhnya ke atas sempadan wilayah itu.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara tidak rasmi mencadangkan rancangan untuk mengusir penduduk Gaza atau menghantar semula peneroka Yahudi ke wilayah itu sejak perang semasa meletus pada 7 Oktober lalu.

Ben Gvir berhujah bahawa penghijrahan rakyat Palestin dan penubuhan semula penempatan Israel adalah penyelesaian yang betul, adil, bermoral dan berperikemanusiaan.

“Ini adalah peluang untuk membangunkan projek untuk menggalakkan penduduk Gaza berhijrah ke negara-negara di seluruh dunia,” katanya pada pertemuan parti ultranasionalisnya Otzma Yehudit, atau ‘Kuasa Yahudi’.

Hamas bagaimanapun menolak cadangan Ben Gvir dan menganggap perkara itu sebagai khayalan.

Kata kumpulan Islam itu dalam satu kenyataan, Israel tidak akan menemui jalan untuk melaksanakannya atau berdepan dengan rakyat Palestin yang tabah dan penentangan heroik mereka.

Hamas juga mengritik kenyataan Smotrich sebagai ejekan keji dan jenayah perang.

Serangan Hamas pada 7 Oktober menyebabkan kira-kira 1,140 orang terbunuh di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.

Serangan berterusan Israel, bertujuan untuk memusnahkan Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 21,978 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya