MELAKA: Kerajaan negeri tidak berhasrat membatalkan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Bandar Hilir di sini, meskipun mendapat bantahan ramai pihak terutama golongan peniaga.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau mengakui pelaksanaan inisiatif itu yang ketika ini masih di peringkat percubaan telah memberikan kesan negatif kepada peniaga.
Kata beliau, bagaimanapun kerajaan negeri tetap optimis selepas mengambil kira kejayaan penutupan jalan di sekitar Jonker Walk pada setiap hujung minggu, ia mampu memberi pulangan ekonomi kepada peniaga setempat.
“Zon Bebas Kenderaan ini bersifat kekal. Ini adalah percubaan dan kita akan menerima semua maklum balas daripada rakyat Melaka untuk ditambah baik.
“Perubahan ini di peringkat awalnya akan memberi kesan yang amat hebat tetapi akhirnya nanti akan berjaya. Ia berdasarkan pengalaman kerajaan negeri menutup Jonker Walk yang mendapat tekanan dan komen begitu hebat (ketika itu), akhirnya sekarang kalau kita mahu buka balik (jalan) pasti mereka akan tentang.
“Kawasan Dataran Merah kita akan tutup cuma jalan pilihan ini akan diberi tambah nilai. Penutupan hanya pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai poster perlumbaan drag yang tular dalam media sosial, Ab. Rauf berkata, beliau akan mendapatkan maklumat daripada Malaysia Airport Berhad (MAB) mengenai penganjuran di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Februari depan.
Jelasnya, perlumbaan itu tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Benda ini (perlumbaan drag) di luar pengetahuan saya dan saya akan mohon kepada pihak MAB untuk maklumkan pada saya. Saya tidak tahu dan kerajaan negeri tidak terlibat. Lapangan terbang ini milik Persekutuan dan bukan milik negeri. Nanti saya akan siasat,” ujarnya. – UTUSAN