PUTRAJAYA: Mekanisme dan garis masa bagi peralihan struktur baharu pendidikan prasekolah diperincikan dalam tempoh terdekat bersama kementerian-kementerian terlibat serta pemegang taruh dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dilaksanakan selepas jemaah menteri membuat keputusan untuk menetapkan semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan kualiti pendidikan negara terus dimartabatkan.
Katanya, susul tindak disegerakan dengan penglibatan semua ketua jabatan dan bahagian dalam mesyuarat pasca Kabinet KPM pada hari ini.
“Ia adalah selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang sedang diterajui oleh KPM khususnya dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
“Reformasi pendidikan ini sangat signifikan dalam menjamin akses, pendidikan yang berkualiti serta intervensi awal bagi menangani keciciran di peringkat prasekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan jemaah menteri memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh. – UTUSAN