Media sosial sukarkan jejak dalang jual hidupan liar

Media sosial, kawalan privasi ketat sukarkan jejak dalang jual hidupan liar

ANTARA sebahagian hidupan liar tanpa lesen yang dirampas Perhilitan di Pahang baru-baru ini. – IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan media sosial secara meluas dengan kawalan privasi ketat menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menjejaki individu yang dipercayai menjadi dalang di sebalik penjualan spesis hidupan liar eksotik dalam talian.

Bukan itu sahaja, dalang turut dikesan mengabui mata pihak berkuasa dengan menggunakan kaedah cash on delivery (COD), perkhidmatan kurier dan pengangkutan awam untuk menyerahkan haiwan yang dijual kepada pembelinya.

Selain itu, ada juga penjual hidupan liar berlesen atau tidak termasuk pemburu dan pembiak baka haram serta sindiket dikesan menggunakan konsep orang tengah atau ‘dropship’ dalam urus niaga haiwan eksotik tersebut sekali gus menyukarkan lagi usaha menjejaki dalangnya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, berdasarkan data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia bagi tahun 2020 hingga Disember 2023, terdapat sebanyak 654 aduan kes penjualan hidupan liar eksotik secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial. 

Menurutnya, hidupan liar primat merupakan spesies paling tinggi diperdagangkan iaitu sebanyak 215 ekor diikuti dengan spesies mamalia kecil dan burung.

“Mengikut rekod dari tahun 2015 hingga 2023, sebanyak 58 kes penjualan hidupan liar di media sosial diambil tindakan oleh Jabatan Perhilitan, dengan 25 kes  selesai manakala kes yang selebihnya dalam proses siasatan dan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberikan dua kes yang mendapat perhatian masyarakat berhubung isu hidupan liar dan dikenakan tindakan oleh Perhilitan iaitu membabitkan seorang pelanggan restoran yang memuat naik video menu makanan daging Buaya Tembaga di sebuah restoran di Pulau Pinang dan individu menyimpan kulit Harimau Malaysia di ibu negara.

“Tangkapan kes disiasat di bawah Seksyen 68 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] atas kesalahan menyimpan bahagian Buaya Tembaga tanpa permit khas dan Seksyen 68 (2)(c) [Akta 716] kerana menyimpan satu trofi kulit harimau belang tanpa permit khas,” katanya.

Nik Nazmi berkata, kementeriannya melalui Perhilitan telah melaksanakan pelbagai tindakan untuk menangani isu tersebut yang semakin berleluasa termasuk mengukuhkan kerangka perundangan melalui pindaan Akta 716 dengan menambah peruntukan khusus serta meningkatkan hukuman kepada penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta sebagai pendekatan pencegahan.

“Di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam [Akta 686], kesalahan mengimport dan mengeksport hidupan liar tanpa permit boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan dan denda maksimum RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan. 

“Selain daripada tindakan undang-undang, kempen kesedaran awam turut dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesalahan perdagangan haram hidupan liar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya